Monday, December 25, 2006

Mari Belajar Mengira

"Tol akan dinaikan .30 sen sahaja mulai 1 Januari 2007." Kata pemimpin yang kita pilih sebab tiada pilihan lain yang lebih layak.

BERAPAKAH KOS HIDUP KAMU, YANG AKAN BERTAMBAH TAHUN DEPAN?

.30 sen X 2 (kali sehari pergi/balik kerja) X 5 (hari seminggu) X 4 (minggu dalam sebulan)

= RM 12.00 (Adakah nilai ini banyak bagi kamu?)


JIKA SEKARANG KAMU MEMBAYAR TOL SEBANYAK;

RM 1.30 X 2 (kali sehari pergi/balik kerja) X 5 (khari seminggu) X 4 (minggu dalam sebulan)

= RM 52.00 (Adakah ini nilai duit yang kamu bazirkan sekarang?)


MULAI 1 JANUARI 2007

RM 12.00 + RM 52.00

= RM 64.00 (Adakah kamu sanggup membayar sebanyak ini setiap bulan?)

*p/s: ini adalah kiraan paling minimum

******

Kamu masih tidak faham apa yang ingin aku sampaikan? Itulah sebabnya, dari dahulu aku cakap Rakyat Malaya ni kaya! Hidup dalam Zon Selesa. Dan aku tahu, mesti ada yang tak setuju dengan aku. Hahahaha

Saturday, December 23, 2006

Monday, December 18, 2006

Tiket Hidup

Aku bukanlah pelajar yang bijak. Bukan genius. Aku hanya tergolong dikalangan pelajar yang biasa-biasa sahaja. Belajar lebih, keputusan peperiksaan baguslah. Belajar lebih kurang, keputusan peperiksaan seperti orang lainlah. Seperti orang ramai. Tiada siapa yang ambil kesah. Dan. Aku tetap seperti budak-budak kampung aku yang lain. Nakal. Nakal tak berupa (kata tok kepada aku).

Aku pernah lari dari rumah, yang ketika itu usia aku dalam lingkungan 5 atau 6 tahun. Kerana terlalu takut dengan emak, atas kesalahan yang aku sendiri telah lupa kini.

Aku pernah membakar longgokan getah kusyen di tepi rumah. Sehingga api marak menjulang sama tinggi dengan atap. Hampir membakar rumah.

Aku pernah meletupkan plak motor di dinding. Kekuatan dentuman menyebabkan rumah aku bergegar.

Aku pernah digantung dan dibuang asrama dan sekolah atas kesalahan sebagai ketua perancang. Kami membuat satu modus operandi memukul seorang pelajar asrama secara berkumpulan di tengah malam. Hampir separuh pelajar asrama lelaki digantung sekolah.

Dan berbagai-bagai tindakan yang aku sendiri malu nak tulis. Kadang-kadang apabila dikenang semula, aku menyesal sendiri dengan tindakan bodoh aku ketika itu.

Namun, sampai suatu ketika aku sedar betapa aku harus ke sekolah. Harapan emak dan abah amat tinggi pada aku. Aku tertekan dengan harapan yang digalas itu, di sebabkan aku anak yang pertama.

Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya diterima masuk ke universiti. Namun, aku terpaksa meninggalkan rakan-rakan seperjuangan di kampung. Mungkin nasib mereka tidak sebaik aku waktu itu. Setelah habis persekolahan, mereka bekerja kampung atau bekerja di kilang-kilang.


*****
"Engkau untung la dapat masuk universiti. Cerah masa depan. Lain lah aku ni, duduk kampung menoreh getah je. Nanti jangan lupa aku tau!" Jakpo memulakan perbualan.

"Tak lah. Aku tak lupa."

Dan detik waktu bagai kaku seketika.

"Sebenarnya bagi aku. Tak semestinya kita berjaya di sebabkan kita masuk universiti. Ramai juga orang yang tak masuk universiti berjaya. Ramai juga orang yang duduk di kampung berjaya. Sebenarnya berjaya dalam hidup adalah yang paling penting." Aku meneruskan perbualan.

Dalam hati aku berkata....

"Belajar di universiti tidak bermaksud kita berjaya dalam hidup. Universiti hanyalah tiket untuk berjaya dalam hidup. Terpulanglah kepada individu, bagaimana harus dia mengunakan tiket itu. Tanpa tiket pun boleh berjaya apa."

Friday, December 15, 2006

Haruman Pandan

Seminggu lagi Temasya Sukan Tahunan Sekolah akan berlangsung.

Aku, dan rakan-rakan di kelas tahun 3 ditugaskan mengecat putih tempurung kelapa. Sebanyak mungkin. Secepat mungkin. Sempurna.

Dan. Setiap petang kami diwajibkan turun ke padang. Menjalani latihan perbarisan dan acara-acara yang disertai. Seminggu itu.

Jam 7 pagi berunifom putih berseluar biru ke sekolah. Tengah hari pulang ke rumah. Jam 3 petang ke sekolah lagi. 10 minit sahaja. Pergi dan pulang berjalan kaki. Komited.

Hari itu, tengah hari aku pulang dengan penat. Lepas solat dan makan aku bersiap-siap ke sekolah semula. Segera. Tadi, Cikgu Bakarudin arahkan semua murid berkumpul di sekolah sebelum jam 3. Di dinding, jam menunjukkan tepat jam 2 petang.

"Tak mahu lewat" fikir aku.

Tetapi.

"Abang Long, pergi belakang rumah Tok kejap. Ambil daun pandan." Pinta Mak.

"Alaaaah.. nak cepat ke sekolah ni. Tadi cikgu suruh. Semua budak pergi cepat. Nak cepat ni. Takut lambat. Cikgu dah pesan tadi..."

"OOhh.. Kalau cikgu suruh semuanya dengar. Semuanya ikut. Kalau cakap Mak, tak nak dengar, tak mahu ikut. Pergilah duduk dengan cikgu tu. Jadi anak dia!" Leter Mak.

Aku diam kelu.

Pagi esoknya. Aku bersarapan nasi lemak yang harum. Haruman yang datang dari nasinya.

*****

Vonisnya. Bertahun-tahun selepas itu, hingga kini. Leteran Mak yang ini, masih terngiang-ngiang di telinga.

Dan aku berbisik;

"Aku mahu jadi anak Emak. Tak mahu jadi anak cikgu...."

Thursday, December 14, 2006

Senyuman Emak

Aku resah, hidup kosong. Aku hanya tidur dan mandi sungai. Lari dari kekosongan. Mengisi kekosongan.

*****

"30 000 GRADUAN MENGANGGUR SETIAP TAHUN"
Tajuk utama Berita Harian hari ini.

"Huh.. akulah salah seorang daripada 30 ribu ni" getus hati.

*****

"Abang Long..! Tadi Kak Long Hajar cakap dia nak lengkuas, halia, serai, serai wangi. Katanya nak banyak, nak hantar ke kilang herba."

"Tanah kita kat darat tu banyak lengkuas. Pergilah gali. Jual kat dia. Lengkuas tu dah lama Mak tanam. Mesti banyak. Nanti dapatlah sikit duit" emak bersuara.

"Emmm.. Ye lah Mak, nanti petang saya pegi gali."

*****

Bertemankan cangkul, berselipar jepun. Setelah hampir 2 jam membanting tulang, aku gali semua langkuas Mak. Aku agak, hampir setahun aku tak menghayun cangkul. Tapak tangan dan jemari aku yang halus ni, melecet berair. Namun semua lengkuas berjaya aku keluarkan. Itu pun setelah bersusah payah berperang. Mengorbankan beberapa titik darah untuk nyamuk dan pacat.

*****

"Mak, agak-agak berapa ringgit lengkuas yang saya gali ni. 50 ringgit boleh dapat tak?" Soal aku setelah melonggokkan lengkuas di tepi rumah.

"Basuh lah dulu lengkuas tu. Kasi bersih. Buang tanah. Kak Long Hajar cakap, kalau jual bersih tanpa kulit, mahal sikit. Baik kikis dulu kulit lengkuas tu sebelum jual." Mak bercakap tanpa menjawab soalan aku.

*****

2 hari aku kerja keraskan lengkuas tersebut. Menyental lengkuas dengan berus sabut. Mengikis kulit supaya harganya mahal nanti. Harapnya.

"Mungkin 60 ringgit ni" fikir aku.

Dan. 2 hari mak tersenyum melihat usaha aku. Entah apa makna di sebalik senyuman itu.

Aku mengeringkan peluh. Setelah semua kerja-kerja gembalaan lengkuas siap, Kak Long Hajar datang. Berbunga-bunga hati aku. Haruman duit lengkuas menusuk kalbu.

"Nah! 6 ringgit setengah. Berat lengkuas ni 2 kilo setengah aje."

"Ha? 3 hari punya kerja dapat 6 ringgit setengah je. Hihihihi." Geli hati aku menerima duit dengan kerja sekeras itu. Namun aku terima dengan pasrah.

"Hahahaha... Hihihihi...." Mak gelakkan aku.
"Hahahaha... Hihihihihi..." Kami ketawa bersama-sama.

"Kalau duduk saja-saja, boleh dapatkah enam ringgit setengah? Itu lah duitnya, kalau kerja dengan tenaga." Sambung emak.

"Kalau kerja dengan ilmu, lain.... Hasilnya lebih banyak. Tapi kena berusahalah. Sia-sia belajar tinggi-tinggi kalau tak pandai nak cari kerja. Kerja bukan datang bergolek pada kita. Kita yang kena cari kerja, atau kita yang kena cipta kerja." celoteh emak lagi.

Wednesday, December 13, 2006

Perbedaan & Perbezaan

Bung Karjo pernah tinggal di Pandan Indah selama 5 tahun. Menjadi peniaga air soya selama itu. Setelah kaya. Kembali ke Jakarta berstatus Saudagar Jutawan Air Soya Pandan Indah.

Sekarang mampu memiliki Empayar Perkhidmatan Wisata di Jakarta, Bandung & Bali. Juga hasil jualan air soya di Pandan Indah.

Seketika di Jakarta bersama Bung Karjo:

"Bung, apa persamaan dan perbezaan yang jelas antara Kuala lumpur dan Jakarta?"

"Emmm, lubangnya!"

"Maaf bung, saya kurang jelas?"

"Di Kuala Lumpur jalannya berlubang-lubang. Tetapi di Jakarta, lubangnya berjalan-jalan."

"Oh hooooooo..."

>>>Sambungan entry. Versi tersipu-sipu dalam NARA YUDA #2

Monday, December 11, 2006

Luar & Dalam

Ada orang cakap aku nakal - kalau baca daripada blog.

Ada orang cakap aku kat luar tak sama dengan aku yang kat dalam.

Ada apa-apa maksud tersiratkah?



>> kamu rindukan sayakah? ehhh malulah...

Friday, December 01, 2006

PERHATIAN!!

ESIS DICAPRIOS @ TAKUYA KIMURA

...berjuang/bercuti...
sehingga tarikh yang bakal dinyatakan

KETEGARAN PEMBACAAN ANDA, AMAT SANGAT DIHARGAI

demi memenuhi keghairahan anda terhadap NARA YUDA #2
tunggukan kemunculannya diriba anda

[saya pasrah harapan anda]
terbaik daripada kami
(titipkan perkhabaran rindu & kasih anda selayaknya untuk saya)