Tuesday, October 04, 2011

Mungkin Negara Kota Melayu Lembah Bama



Petikan dari email Dr. Aminuddin Abdul Karim http://sungaibatuderelong.blogspot.com/ kepada saya;

Esis, sila lihat Kajian saya bertajuk 1.Menyingkap Sejarah Lembah Bama DiNegeri Pahang Sebagai Pusat Perdagangan Terawal Bagi Asia Tenggara Dan Mengesan Sultan Pemerintah Riau-Lingga-Johor Yang Menetap DiLembah Bama(Kg Relong),2009 .Baca mukasurat 20 yang berbunyi , " Disinilah pasaran perdagangan diantara Timur dan Barat yang setiap hari kira-kira 10,000 orang perniaga.Barang yang didagangkan ialah barang yang jarang diperolehi dan barang perhiasan. Disitu juga ada pokok wine iras pokok delima yang juicenya diperolehi dari bunga yang diperah dan disimpan dalam bekas khas untuk beberapa hari.Kebanyakan kapal yang melalui laluan besar itu dibuat diFunan. ".Manakala dalam buku saya yang ke2 bertajuk Kajian Terhadap Hikayat Seri Rama dari Perspektif Strategi dan Sebagai Naskhah Tertua DiNusantara Yang DiKarang oleh Orang lembah Bama,Kuala Lipis, pahang,2011 dimana saya menulis tentang " Negera Kota Lembah Bama " dlam muka surat 6.

Kedua buku saya terdapat diPerpustakaan Negara Malaysia, Jalan Tun Razak,KL
Sekian.

Lembah Bama juga tercatat pada Inskripsi Talang Two (lihat buku Asmah Haji Omar,Inskripsi Melayu Sriwijaya,2009 yang mencerita gambaran Lembah Bama yang saya tafsirkan sebagai Kampung Aur Gading,dalam Lembah Bama.Inskripsi Talang Two ini bertarikh 684,Masehi yang terletak kira-kira 5 kilometer dari Bukit Seguntang.Foto inskripsi ini boleh dilihat dalam buku Asmah haji Omar dan Buku Kajian Hikayat Seri Rama oleh Aminudin Abdul Karim,2011.

-Dr Aminudin Karim-

Petikan dari Srikandi MistisFiles http://mistisfiles.blogspot.com/2011/10/catatan-srikandi-viii.html;

,"Tapak warisan yang amat berharga seperti ini kebanyakan telah musnah kerana pembangunan.Kesan-kesan sejarah Malay city-states di sepanjang pesisir pantai majoritinya terhapus disebabkan pembinaan pelabuhan baru oleh British atau sultan-sultan terkemudian.Apa yang kita harapkan sekarang ialah kesan kota-kota yang tersembunyi di pedalaman.Catatan Hugh Clifford tentang laporan pegawainya tentang kota misteri di Lembah Bama menunjukkan ada sesuatu rahsia besar yang disembunyikan oleh pihak British.Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah melobi kerajaan untuk lebih peka mencari jejak city-states Melayu ini,dan memuliharanya.Para pengkaji Srivijaya dari Thailand amat cergas menggali kota-kota purba Melayu di Satun dan Ranong.Pakar dari Belanda dan Perancis sudah banyak kali menerbitkan jurnal tentang Tambralinga dan Srivijaya dan berminat untuk mencari kota ke-12 Sri Dharmaraja yang hilang itu,Kota Gelanggi.Srikandi...saya amat tertarik dengan fakta bahawa raja-raja berdarah Melayu pernah memerintah Angkor.Raja-raja ini tentu tahu bagaimana untuk membuatkan hubungan dengan Malay city-states yang bertaburan di sekitar empayar Khmernya..."

Monday, December 13, 2010

Teknologi Melayu Inovasi Jerman (Gobek Api)


Saya membaca artikel yang menarik ini dari Majalah Agro Malaysia Bil 2 Okt-Dis 2010, dan sangat wajar saya kongsikan di sini.

Menurut Dr Rahmat Ghazali, beliau pernah berbual dengan seorang jurutera dari Jerman yang sangat memandang tinggi penciptaan orang Melayu. Salah satu ciptaan orang Melayu yang menjadi perhatiannya ialah Gobek Api.

Menurut jurutera ini, sebenarnya teknologi enjin diesel adalah diasaskan oleh teknologi Gobek Api!

Malah jurutera Jerman ini mahu sahaja menyatakan bahawa orang Melayulah yang telah mengasaskan teknologi enjin diesel.

Malangnya, dalam masyarakat Melayu, teknologi Gobek Api terhenti begitu sahaja apabila datangnya mancis dan pemetik api, maka tiada lagi inovasi.

Namun di Jerman, Gobek Api telah dimanfaatkan sehingga menghasilkan teknologi enjin diesel yang banyak digunakan dalam pembangunan jentera dan penciptaan kenderaan. Malah, ia pemangkin kepada bidang industri pengangkutan dan industri perkilangan yang akhirnya menjadikan Jerman sebuah negara maju.

**Kenapa orang luar mengakui kehebatan orang Melayu?
Foto: Gobek Api

Thursday, October 30, 2008

Nikmati

Lebih daripada separuh umur saya di tahun ini agak menyedihkan. Membebankan. Oleh itu, tiada kata-kata indah atau fiksi-fiksi ringan mampu saya ringkaskan di blog ini.

Sejuk & beku.

Suka saya kongsikan kegembiraan bersama teman-teman. Namun, kemurungan tanpa rela membunuh semua itu. Berjanji. Saya ada belati untuk menikam jantung kemurungan ini. Tiba saatnya blog ini kembali meriah seperti dulu. InsyaAllah.

Buat semua itu, kini saya sedang menikmati Saasatul Ibaad hidangan segar saudara Faizal Tehrani.

Mengujakan...

Friday, September 26, 2008

Eid Mubarak 1429 / 2008

Assalamualaikum, sempena Ramadhan yang mulia & Syawal hari kemenangan.

Bila usia semakin lanjut. Maka, "destinasi" makin dekat. Doa & pahala tak tahu yang mana lebih berat. Harap keredhaan Allah sahaja untuk ke syurga.

Berdosa atas perbuatan diri. Melanggar perintah & laranganNya, mohon keampunan & taubat padaNya.

Namun,

Jika berdosa sesama manusia.? Mintalah pada manusia.

Jadi, sebelum meminta. Saya terlebih dahulu memaafkan kesalahan saudara saudari terhadap saya. Walau sebesar mana pun kesalahan itu. Ya Allah... saya ampunkan dosa & kesalahan mereka ini.

Dan, dengan rendah hati, rendah diri. Saya dengan ini memohon maaf pada saudara saudari atas semua kesalahan & dosa saya. Kerana saya ini manusia, tidak terlepas dari kesalahan. Maafkan & ampuni dosa saya..

Tuesday, July 29, 2008

Siri Haiwan: Putih Si Kucing Sayang

Dulu, saya ada kucing. Nama dia Putih. Tapi Putih bukanlah putih sangat. Di kepalanya ada tompok-tompok hitam. Tak tahu kenapa, Mak kasi nama dia Putih. Sampai sekarang soalan tu tak pernah terkeluar dari bibir saya. Jadi, sampai sekarang Mak tak pernah dengar soalan saya ni. Tak mengapa, saya biarkan soalan itu tergantung di antara lelangit dan lidah saya.

Saya sayang pada Putih. Tapi, saya tak pernah cakap pada Putih, yang saya sayang pada dia. Saya pun tak tahu, putih tahu atau tidak, saya sayang pada dia. Sebab saya tak pernah cium Putih. Saya juga sayang Mak saya. Tapi. Walaupun sekali, saya tak pernah cakap "saya sayang Mak" pada Mak saya. Tapi. Saya syak, Mak tahu saya sayang dia. Sebab saya selalu cakap "i love u, Mak!" lepas habis berbual di telifon. Tapi saya syak sahaja. Harap-harap tahu.

Saya juga selalu kasi Putih makan nasi lebihan saya. Kadang-kadang, saya biarkan putih tidur di ketiak saya. Putih cium muka saya. Lepas tu dia bunyi greeeeeggg, greegggg... berderam di celah leher saya. Saya syak Putih sayang saya, sebab saya kasi dia makan. Tapi, Mak kasi saya makan juga. Makan sedap-sedap. Tapi, Mak tak cium saya. Eh adalah..., masa kecik (tapi saya tak ingat). Eeemmm... ada. Dulu, setahun dua kali lepas solat raya. Sekarang setahun sekali. Teka kenapa? Tapi. Kenapa saya tak cium Mak kalau Mak tak cium saya? Takpelah, nanti saya fikir jawapannya.

Suatu hari, kami sekeluarga balik kampung. Seminggu. Putih tinggal di rumah. Putih dah dewasa. Pandai-pandailah dia cari makan.

Lepas seminggu. Bila kami balik semula ke rumah. Putih tiada. Saya syak Putih jalan-jalan cari makan. Nanti malam dia balik. Setiap hari saya tunggu. Putih tak balik-balik juga. Saya tak syak Putih kena culik. Saya syak dia merajuk. Tapi sampai sekarang dia tak balik. Masa tu umur saya 10 tahun.

Saya tak pernah tanya Mak mana Putih pergi. Soalan tu berlegar di hati saya sejak saya berumur 10 tahun, sampailah sekarang. Soalan yang ini, saya simpan di hati. Sebab, saya rasa jawapannya saya tahu.

Sekarang, saya pula yang pergi. Sejak berumur 20 tahun. Tapi, saya tak mahu berpergi-pergian macam Putih. Saya ingin selalu kembali ke rumah. Macam selau-selalu.

Saturday, July 12, 2008

Malaya-ku Kini

Politika Malaya makin aneh.
Karektor-karektornya udah seperti kartun.

Bukan lagi kelihatan aneh! Kini memualkan...

eeuummppbbb, maaf.... saya rasa mahu muntah!

Friday, June 27, 2008

Sabtu, Ahad, Senin

Esok hari Sabtu!

Uki suka gila bila tiba hari Sabtu.
Balik sekolah berdoa supaya Sabtu dipanjang-panjangkan masanya.

Supaya masa tidur, masa main, masa mandi sungai, masa ronda-ronda kampung, masa main basikal, masa main bola pihak, masa main rumah batu, masa main ketinting, masa main tuju getah, masa main tuju tin, masa main tikam, masa main bedil buluh buah cenerai, masa panjat pokok jambu padang, masa menggetah burung puyuh, masa mengukir batang rumbia, panjang, panjang dipanjang-panjangkan.

Uki paling tak suka petang hari Ahad.
Sebab masa tidur, masa main, masa mandi sungai, masa ronda-ronda kampung, masa main basikal, masa main bola pihak, masa main rumah batu, masa main ketinting, masa main tuju getah, masa main tuju tin, masa main tikam, masa main bedil buluh buah cenerai, masa panjat pokok jambu padang, masa menggetah burung puyuh, masa mengukir batang rumbia, bakal tamat.

Pada malamnya. Uki berdoa panjang, panjang, panjang dan panjang sebelum tidur.

Supaya esoknya, Cikgu Hassan tiada di sekolah. Cikgu Kartini lupa masuk kelas. Atau. Beg sekolah dan semua buku tulis latihan ghaib tanpa dikesan.

Atau. Hari Isnin tak wujud esoknya!

Monday, June 02, 2008

Paruh Hilang

Cuti sekolah tiba lagi. Tapi. Uki rasa tidak segembira tahun-tahun sudah. Tahun depan dia ke Tingkatan 1. Untuk itu, seperti adatnya, Uki perlu lalui "ibadah permulaan" alam remaja.

Uki bukan membantah. Uki mahu. Tapi Uki perlu tahu. Orang kata sakit dan ngilu. Tapi kalau tak buat manakan tahu. Jadi, Uki perlu buat untuk itu. Ahhh.. naif sungguh. Tak mengapa. "Abah ada." Pesan mak sambil tepuk-tepuk belakang Uki. Dan. Tok senyum penuh makna.

Uki dan abah naik bas ke bandar. Destinasi: Klinik Sulaiman.

"Eh, baru nampak kepalanya. Sebelum ni takde." Uki kehairanan. Suara separa kaget.

"Sebelum ni dia menyorok." Jawab Doktor Sulaiman.

"Dia malu. Hihik." Sampuk akak misi genit yang comel.

"Oooooo... " Uki mengiyakan.

"Tapi, macam mana akak misi tau?" Tanya uki separa malu.

"Dia taulah!" Kata abah. Membunuh semua tanda soal dalam kepala Uki.

Semalam. Uki setapak ke alam remaja. Paruh burungnya dipotong....

Wednesday, May 28, 2008

Bentankah itu?

"Jangan naik basikal tu. Nanti bentan!" Jerit Tok pada Uki. Marah.

Terkejut Uki, kecut perut. Kain pelekat petak-petak hijau yang dipakai, Uki gengam erat-erat pada gulungan. Takut tercabut. Itu pun dah terlondeh hingga ke ari-ari.

Basikal BMX biru, Uki biarkan terhempas ke tanah. Uki lari-lari anak, terkengkang-kengkang menuju ke rumah.

"Jangan lari!!! Nanti bentan!!..." Teriak Tok lagi.

Uh.. Aduh, Uki lantas patuh. Berjalan tertib. Tapi, masih lagi terkengkang-kengkang. "Hehe, sempat jugak kayuh basikal se-round dua. Kih kih."

Malam. Uki sakit pada anunya. Bukan sakit. Gatal. Tapi tak boleh garu. Tapi sakit. Tapi bukan anunya. Rasa macam kembang. Tapi macam kebas. Tapi gatal!

"Aduuuuuhhhh." Serba tak kena. Seperti dihurung sesarang semut tonggek. "Aduuuuuuhhhh.... aduhhhhhh deh deh." Air mata mula bertakung. Tapi Uki takut nak mengadu pada orang lain. "Uuuuuuuhhhh...." Dia mengerang.

"Itulah! Siang tadi sapa suruh main basikal?! Malam kan dah sakit. Sok mainlah lagi! Budak bertuah. Nakal tak berupa!" Leter Tok. Rupanya dia tahu penderitaan Uki.

"Ini bentan ke Tok?"
"Bukan!"

Hingga ke hari ini. Uki tak tahu, apa ke benda "bentan" yang tok sebut-sebutkan tu.

********

PERHATIAN.
Ini cerita Uki. Bukan cerita Penulis.

Thursday, May 22, 2008

Malam



Bulan kelihatan tenang. Bersinar benderang. Sesekali dilintasi awan. Hanya sesekali.

Namun, tiada bayu segar malam ini. Tidak bernyawa. Langsung tiada hembusan. Tidak seperti selalu. Kaku.

Malam ini. Unggas-unggas juga bisu. Serangga pun begitu. Tidak menyanyi seperti selalu. Cengkerik. Katak. Belalang. Riang-riang. Burung hantu. Cicak. Diam.

"Mogok agaknya." Keluh aku separa berbisik.

Dulu, aku benci bunyi katak mengawan. Memanggil pasangan.

"ong, ong, uwaup, uwaup, ong, ong, uwaup, uwaup," bersahut-sahutan, bertingkah-tingkah. Mungkin ada pertandingan diantara mereka. Aku fikir.

Waktu itu, musim hujan. Hampir dua per tiga malam aku berperang dengan mata untuk lena. Gara-gara katak mengawan. Aku jadi mangsa. Berkelahi pula dengan angin sejuk. Membawa halus titis air hujan ke dalam bilik. Menyelimuti ruang. Hampir subuh, baru mata aku tewas. Tubuh aku mengerekot. Lena. Hampir saban malam begitu. Dan. Kadang-kadang sahut-sahutan katak diselangi bunyi dentuman guruh. Tekanan jiwa. Sungguh.

Malam ini, lain ceritanya. Aku rindukan nyanyian sahut-sahutan tingkah-tingkahan mereka. Tapi mereka bisu. Bencikan aku agaknya.

Tenang. Sunyi. Tapi bulan pula beransur kelam. Sinarnya malap. Tiada lagi keceriaan yang satu ini. Penghibur hati kala ini. Alam juga sama. Tidak bernafas. Tidak bernyawa. Panas.

"Mereka mogok..." kata aku di dalam hati.

Masih juga berperang dengan mata.