Thursday, October 30, 2008

Nikmati

Lebih daripada separuh umur saya di tahun ini agak menyedihkan. Membebankan. Oleh itu, tiada kata-kata indah atau fiksi-fiksi ringan mampu saya ringkaskan di blog ini.

Sejuk & beku.

Suka saya kongsikan kegembiraan bersama teman-teman. Namun, kemurungan tanpa rela membunuh semua itu. Berjanji. Saya ada belati untuk menikam jantung kemurungan ini. Tiba saatnya blog ini kembali meriah seperti dulu. InsyaAllah.

Buat semua itu, kini saya sedang menikmati Saasatul Ibaad hidangan segar saudara Faizal Tehrani.

Mengujakan...

Friday, September 26, 2008

Eid Mubarak 1429 / 2008

Assalamualaikum, sempena Ramadhan yang mulia & Syawal hari kemenangan.

Bila usia semakin lanjut. Maka, "destinasi" makin dekat. Doa & pahala tak tahu yang mana lebih berat. Harap keredhaan Allah sahaja untuk ke syurga.

Berdosa atas perbuatan diri. Melanggar perintah & laranganNya, mohon keampunan & taubat padaNya.

Namun,

Jika berdosa sesama manusia.? Mintalah pada manusia.

Jadi, sebelum meminta. Saya terlebih dahulu memaafkan kesalahan saudara saudari terhadap saya. Walau sebesar mana pun kesalahan itu. Ya Allah... saya ampunkan dosa & kesalahan mereka ini.

Dan, dengan rendah hati, rendah diri. Saya dengan ini memohon maaf pada saudara saudari atas semua kesalahan & dosa saya. Kerana saya ini manusia, tidak terlepas dari kesalahan. Maafkan & ampuni dosa saya..

Tuesday, July 29, 2008

Siri Haiwan: Putih Si Kucing Sayang

Dulu, saya ada kucing. Nama dia Putih. Tapi Putih bukanlah putih sangat. Di kepalanya ada tompok-tompok hitam. Tak tahu kenapa, Mak kasi nama dia Putih. Sampai sekarang soalan tu tak pernah terkeluar dari bibir saya. Jadi, sampai sekarang Mak tak pernah dengar soalan saya ni. Tak mengapa, saya biarkan soalan itu tergantung di antara lelangit dan lidah saya.

Saya sayang pada Putih. Tapi, saya tak pernah cakap pada Putih, yang saya sayang pada dia. Saya pun tak tahu, putih tahu atau tidak, saya sayang pada dia. Sebab saya tak pernah cium Putih. Saya juga sayang Mak saya. Tapi. Walaupun sekali, saya tak pernah cakap "saya sayang Mak" pada Mak saya. Tapi. Saya syak, Mak tahu saya sayang dia. Sebab saya selalu cakap "i love u, Mak!" lepas habis berbual di telifon. Tapi saya syak sahaja. Harap-harap tahu.

Saya juga selalu kasi Putih makan nasi lebihan saya. Kadang-kadang, saya biarkan putih tidur di ketiak saya. Putih cium muka saya. Lepas tu dia bunyi greeeeeggg, greegggg... berderam di celah leher saya. Saya syak Putih sayang saya, sebab saya kasi dia makan. Tapi, Mak kasi saya makan juga. Makan sedap-sedap. Tapi, Mak tak cium saya. Eh adalah..., masa kecik (tapi saya tak ingat). Eeemmm... ada. Dulu, setahun dua kali lepas solat raya. Sekarang setahun sekali. Teka kenapa? Tapi. Kenapa saya tak cium Mak kalau Mak tak cium saya? Takpelah, nanti saya fikir jawapannya.

Suatu hari, kami sekeluarga balik kampung. Seminggu. Putih tinggal di rumah. Putih dah dewasa. Pandai-pandailah dia cari makan.

Lepas seminggu. Bila kami balik semula ke rumah. Putih tiada. Saya syak Putih jalan-jalan cari makan. Nanti malam dia balik. Setiap hari saya tunggu. Putih tak balik-balik juga. Saya tak syak Putih kena culik. Saya syak dia merajuk. Tapi sampai sekarang dia tak balik. Masa tu umur saya 10 tahun.

Saya tak pernah tanya Mak mana Putih pergi. Soalan tu berlegar di hati saya sejak saya berumur 10 tahun, sampailah sekarang. Soalan yang ini, saya simpan di hati. Sebab, saya rasa jawapannya saya tahu.

Sekarang, saya pula yang pergi. Sejak berumur 20 tahun. Tapi, saya tak mahu berpergi-pergian macam Putih. Saya ingin selalu kembali ke rumah. Macam selau-selalu.

Saturday, July 12, 2008

Malaya-ku Kini

Politika Malaya makin aneh.
Karektor-karektornya udah seperti kartun.

Bukan lagi kelihatan aneh! Kini memualkan...

eeuummppbbb, maaf.... saya rasa mahu muntah!

Friday, June 27, 2008

Sabtu, Ahad, Senin

Esok hari Sabtu!

Uki suka gila bila tiba hari Sabtu.
Balik sekolah berdoa supaya Sabtu dipanjang-panjangkan masanya.

Supaya masa tidur, masa main, masa mandi sungai, masa ronda-ronda kampung, masa main basikal, masa main bola pihak, masa main rumah batu, masa main ketinting, masa main tuju getah, masa main tuju tin, masa main tikam, masa main bedil buluh buah cenerai, masa panjat pokok jambu padang, masa menggetah burung puyuh, masa mengukir batang rumbia, panjang, panjang dipanjang-panjangkan.

Uki paling tak suka petang hari Ahad.
Sebab masa tidur, masa main, masa mandi sungai, masa ronda-ronda kampung, masa main basikal, masa main bola pihak, masa main rumah batu, masa main ketinting, masa main tuju getah, masa main tuju tin, masa main tikam, masa main bedil buluh buah cenerai, masa panjat pokok jambu padang, masa menggetah burung puyuh, masa mengukir batang rumbia, bakal tamat.

Pada malamnya. Uki berdoa panjang, panjang, panjang dan panjang sebelum tidur.

Supaya esoknya, Cikgu Hassan tiada di sekolah. Cikgu Kartini lupa masuk kelas. Atau. Beg sekolah dan semua buku tulis latihan ghaib tanpa dikesan.

Atau. Hari Isnin tak wujud esoknya!

Monday, June 02, 2008

Paruh Hilang

Cuti sekolah tiba lagi. Tapi. Uki rasa tidak segembira tahun-tahun sudah. Tahun depan dia ke Tingkatan 1. Untuk itu, seperti adatnya, Uki perlu lalui "ibadah permulaan" alam remaja.

Uki bukan membantah. Uki mahu. Tapi Uki perlu tahu. Orang kata sakit dan ngilu. Tapi kalau tak buat manakan tahu. Jadi, Uki perlu buat untuk itu. Ahhh.. naif sungguh. Tak mengapa. "Abah ada." Pesan mak sambil tepuk-tepuk belakang Uki. Dan. Tok senyum penuh makna.

Uki dan abah naik bas ke bandar. Destinasi: Klinik Sulaiman.

"Eh, baru nampak kepalanya. Sebelum ni takde." Uki kehairanan. Suara separa kaget.

"Sebelum ni dia menyorok." Jawab Doktor Sulaiman.

"Dia malu. Hihik." Sampuk akak misi genit yang comel.

"Oooooo... " Uki mengiyakan.

"Tapi, macam mana akak misi tau?" Tanya uki separa malu.

"Dia taulah!" Kata abah. Membunuh semua tanda soal dalam kepala Uki.

Semalam. Uki setapak ke alam remaja. Paruh burungnya dipotong....

Wednesday, May 28, 2008

Bentankah itu?

"Jangan naik basikal tu. Nanti bentan!" Jerit Tok pada Uki. Marah.

Terkejut Uki, kecut perut. Kain pelekat petak-petak hijau yang dipakai, Uki gengam erat-erat pada gulungan. Takut tercabut. Itu pun dah terlondeh hingga ke ari-ari.

Basikal BMX biru, Uki biarkan terhempas ke tanah. Uki lari-lari anak, terkengkang-kengkang menuju ke rumah.

"Jangan lari!!! Nanti bentan!!..." Teriak Tok lagi.

Uh.. Aduh, Uki lantas patuh. Berjalan tertib. Tapi, masih lagi terkengkang-kengkang. "Hehe, sempat jugak kayuh basikal se-round dua. Kih kih."

Malam. Uki sakit pada anunya. Bukan sakit. Gatal. Tapi tak boleh garu. Tapi sakit. Tapi bukan anunya. Rasa macam kembang. Tapi macam kebas. Tapi gatal!

"Aduuuuuhhhh." Serba tak kena. Seperti dihurung sesarang semut tonggek. "Aduuuuuuhhhh.... aduhhhhhh deh deh." Air mata mula bertakung. Tapi Uki takut nak mengadu pada orang lain. "Uuuuuuuhhhh...." Dia mengerang.

"Itulah! Siang tadi sapa suruh main basikal?! Malam kan dah sakit. Sok mainlah lagi! Budak bertuah. Nakal tak berupa!" Leter Tok. Rupanya dia tahu penderitaan Uki.

"Ini bentan ke Tok?"
"Bukan!"

Hingga ke hari ini. Uki tak tahu, apa ke benda "bentan" yang tok sebut-sebutkan tu.

********

PERHATIAN.
Ini cerita Uki. Bukan cerita Penulis.

Thursday, May 22, 2008

Malam



Bulan kelihatan tenang. Bersinar benderang. Sesekali dilintasi awan. Hanya sesekali.

Namun, tiada bayu segar malam ini. Tidak bernyawa. Langsung tiada hembusan. Tidak seperti selalu. Kaku.

Malam ini. Unggas-unggas juga bisu. Serangga pun begitu. Tidak menyanyi seperti selalu. Cengkerik. Katak. Belalang. Riang-riang. Burung hantu. Cicak. Diam.

"Mogok agaknya." Keluh aku separa berbisik.

Dulu, aku benci bunyi katak mengawan. Memanggil pasangan.

"ong, ong, uwaup, uwaup, ong, ong, uwaup, uwaup," bersahut-sahutan, bertingkah-tingkah. Mungkin ada pertandingan diantara mereka. Aku fikir.

Waktu itu, musim hujan. Hampir dua per tiga malam aku berperang dengan mata untuk lena. Gara-gara katak mengawan. Aku jadi mangsa. Berkelahi pula dengan angin sejuk. Membawa halus titis air hujan ke dalam bilik. Menyelimuti ruang. Hampir subuh, baru mata aku tewas. Tubuh aku mengerekot. Lena. Hampir saban malam begitu. Dan. Kadang-kadang sahut-sahutan katak diselangi bunyi dentuman guruh. Tekanan jiwa. Sungguh.

Malam ini, lain ceritanya. Aku rindukan nyanyian sahut-sahutan tingkah-tingkahan mereka. Tapi mereka bisu. Bencikan aku agaknya.

Tenang. Sunyi. Tapi bulan pula beransur kelam. Sinarnya malap. Tiada lagi keceriaan yang satu ini. Penghibur hati kala ini. Alam juga sama. Tidak bernafas. Tidak bernyawa. Panas.

"Mereka mogok..." kata aku di dalam hati.

Masih juga berperang dengan mata.



Wednesday, May 21, 2008

Tajuk yang sesuai aku rasa rupa-rupanya..

Rupa-rupanya dunia tanpa bacaan......... kaku
Rupa-rupanya dunia tanpa tulisan......... beku


Rupa-rupanya dunia tanpa kawan......... dungu
Dan
Rupa-rupanya dunia kejar dunia......... ?????

....5 bulan tergelincir sebelah kakiku

Thursday, May 15, 2008

Baru

Dulu: aku hampir gila
Kini: belajar menulis semula
Esok: la la la la la la la

Wednesday, May 14, 2008

Gila

Hati & Akal

...bertempur!

Aku parah di tengah-tengah.

Ah, sadis.....

Wednesday, April 30, 2008

aku ingin engkau selalu


"aku ingin engkau selalu, hadir dan temani aku,
disetiap langkah yang menyakini ku,
kau tercipta untuk ku,.."


lirik lagu UNGU

Ah... berjiwa sungguh. Alunan lirik, santapan deria dengar ku petang ini. Sudah lama aku tak dengar lagu yang menusuk tangkai rasa ini.

Dalam dada aku seakan tepu dengan rasa cinta, rasa rindu, rasa kasih, manisnya sayang.

Seiring wajah-wajah insan yang tersayang silih berganti. Berbayang-bayang dalam anak mataku.

Pantas tanganku menggengam. Dan di hujung talian. Sayup-sayup suara yang kurindui menyahut.

"Sapa ni...?"
"Assalamualaikum mok. Sehat ke? hehe."
"Haa.. Waalaikumsalam. Sehat. Ngape tipon ni? Cakap la kuat sikit"
"Hihi.. saja je, nak borak-borak ngan mok... bla bla bla bla....."

Tuesday, April 08, 2008

Tuesday, January 29, 2008

Sharlinie: Detik Ini Pasti Berakhir

"Nashar, banyak betul anak kamu makan kari kambing ni". Tegur Zali separa berbisik. Nashar cuma tersenyum dan memerhatikan perlakuan anak kesayangannya, Lini.

"Eeemmmmmm... hihihihihihi sedappppppppnya gulai ni". Kata Lini. Tersenyum manja apabila bertentangan wajah dengan ayahnya. Kemudian ibunya.

Lantas, Lini berlari keanak-anakan ke arah kakaknya. Di kedua belah tangannya, ditatang erat dihadapan dada, semangkuk kari kambing. Tentunya untuk di ratah bersama saudara-saudaranya.

Itulah antara kata-kata dan perlakuan Lini yang masih terakam di sanubari kami. Masih jelas terbayang keletahnya yang riang dan manja di waktu itu. Ketika kami menjamu selera di suatu jamuan. Majlis keluarga.

Beberapa hari. Ya, beberapa hari sebelum tragedi hitam ini berlaku.

Lini adalah salah seorang keluarga kami. Anak saudara kepada pengurus kewangan Casserose. Kini, setelah hampir 2 minggu, Lini masih tidak di jumpai. Bantulah kami untuk menemuinya. Mungkin saudara insan budiman yang menjumpainya.

********

Setiap kali kari kambing terhidang di warung. Pasti kaku kami seketika. Sayu pantas menyesak dada.

Setiap kali kari kambing menjadi bualan. Terdiam kami. Mengimbau detik itu. Detik ini. Entah apakah pengakhirannya.....

Mungkin saudara insan budiman yang menjumpainya. Bantulah kami.