Saturday, March 10, 2012

Surat Raffles Kepada Raja-Raja Melayu


Oleh Mazlan Nordin

TENTUNYA disambut baik ialah buku yang mengandungi pelbagai surat tulisan Jawi dari raja-raja Melayu kepada Sir Stamford Raffles pada zaman lalu.

Raffles kemudian mengirim surat kepada raja-raja Melayu di Semenanjung dan kepada raja-raja Gugusan Kepulauan Melayu-Riau, Siak, Pontianak, Banjarmasin, Jambi, Palembang, Cirebon, Banten, Madura, Surakarta, Mataram dan juga Bali.

Demikian buku bertajuk Letters of Sincerity : The Raffles Collection of Malay Letters 1980-1824 (420 muka, terbitan MBRAS), oleh Profesor Ahmat Adam, dulu sarjana sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini di Universiti Malaya.

Antara lain disebut betapa Raffles semasa berkhidmat di Pulau Pinang tertarik hati dengan pengajian bahasa Melayu lalu mengumpul salinan surat-surat bahasa Melayu yang punyai sejarah 500 tahun sekurang-kurangnya.

Beliau mendapat kenaikan pangkat manakala Lord Minto, Gabenor-Jeneral India melantiknya sebagai wakil ke negeri-negeri Melayu di Melaka. Beliau ditugaskan membuat persiapan untuk menyerang Pulau Jawa yang dikuasai oleh Belanda. Dari Melaka mulai Disember 1810 beliau mengadakan pelbagai gerakan pengintipan rahsia untuk mempastikan kekuatan tentera Belanda di Jawa.

Dalam surat-suratnya kepada raja-raja di Gugusan Kepulauan Melayu, beliau memohon sokongan persahabatan mereka, iaitu tidak menjalin persahabatan dengan Belanda. Dalam surat kepada Sultan Palembang, beliau meminta Sultan menghalau Belanda dari wilayah-wilayahnya.

Kisah bersambung: Raffles berlepas dari Melaka pada 18 Jun, 1811 bersama angkatan tentera seramai 11,000 orang bersama Lord Minto. antara 100 buah kapal ialah sebilangan kapal-kapal perang.

Pada waktu dulu penulis-penulis surat Melayu dikehendaki benar-benar menguasai sastera Melayu, menulis tulisan Jawi dengan baik dan mengetahui bahasa Arab serta agama Islam. Penting ialah kelebihan menulis puji-pujian yang menyentuh konsep “budi” budaya Melayu.

Permulaan surat raja Melayu mengandungi kata-kata dalam bahasa Arab dan beberapa ayat Quran. Terserlah ialah diplomasi Melayu selaras dengan “budi” orang Melayu. Antara kandungan surat Sultan Alauddin Jauhar Alam Syah (Aceh).

“Alhamduillah al-ladhi ala abdi al-kitab ........ Hatta kemudian dari itu banyak salam baik akan sahabat beta Paduka Seri Lord Minto ....... beta punya kapal telah bertemu dengan orang kapal perang Inggeris; di suruh turun bendera kita dan tanda beta. Kemudian ia usik-usik akan kapitan kapal beta, diambil khalasi. Mengapa begitu ia diperbuat.”Jelas bahawa ada kalanya raja Melayu juga menyampaikan aduan mengenai tindak-tanduk petugas kapal Inggeris. Menurut satu laporan lain Sultan Alauddin tahu bercakap dalam bahasa Inggeris dan sedikit-banyak mengetahui budaya orang-orang Barat.

Sepucuk surat dari Raden Muhammad Ibrahim (Aceh) kepada kerani Raffles, antara lainnya: “Saura hamba pun ketahui perintah dunia ini; jika ada rial ditangan kita segala kerja yang susah-susah jadi mudah.”

Surat dari Sultan Syarif Kassim (Pontianak) kepada Raffles di Melaka di antara lainnya: “Jika boleh dengan bolehnya sahabat kita tolong seboleh-bolehnya kerja habis itu perompak-perompak dan lanun. Segala yang kerja jahat-jahat sama orang dagang itu ketika ini semuanya ada berkumpul dalam negeri Sambas.”

Dari Banten (Jawa) pula Pangeran Anom dan Pangeran Ahmad: “Waba’adah raja-raja Inggeris, saya minta tolong kepada raja-raja Inggeris menembak Pulau Merak dan lagi menembak Anyer.”

Warkah dari Sultan Ceribon (Jawa) kepada Raffles: “Inilah surat yang tulus serta ikhlas yang keluar dari hati yang putih ....... Saya pun menanti-nanti tolongan dari kompeni Inggeris ...... Saya kedua memintakan biar segera kompeni Inggeris menyuruh kapal perang menolong daripada kerosakan saya dan negeri saya, mengambil sekalian orang Holanda yang di dalam negeri Jawa.”Surat-surat seterusnya diterima dari Ratu Gusti Wayahan Korong-Asem (Bali): “Bahawa ini surat yang terbit daripada nur al-qalub yang amat gilang-gemilang akan memberi terang benderang pada antara segala makhluk ...... Maka kita pintak kepada saudara apa-apa saudara punya suka yang di tanah Bali itu melainkan saudara kirim surat kepada iaitu seboleh-bolehnya kita carikan.”

Untuk faedah semua pihak surat-surat tulisan Jawi itu disiarkan dalam tulisan Rumi. Kerana, dewasa ini ada orang-orang Melayu tidak tahu baca jawi lagi.



Friday, March 09, 2012

Mimpi Penyatuan Bangsa Melayu Melalui Nusantara

Oleh MAZLAN NORDIN

SAMBUTAN ulang tahun Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ke-40 baru-baru ini mengenangkan kembali ingatan pelbagai pihak kepada sesuatu yang dilafazkan oleh Profesor Ismail Hussein, terus peneraju GAPENA, pada suatu masa dahulu. Antara lainnya:

"Universiti ini telah berkembang dengan amat baik, memenuhi sebahagian besar daripada harapan para pejuangnya terutama dari segi pelaksanaan bahasa kebangsaan dan penerapan jiwa kebangsaan.

Saya berdoa yang universiti ini tidak akan hilang cita-cita kebudayaannya yang asasi, terutama di dalam konteks lautan Melayu di mana kita hidup. Saya selalu merasa yang dunia Melayu yang maha luas ini telah memberikan banyak iktibar.

Dunia Melayu selalu terbuka luas, laksana samudera lepas yang mengelilingi dan selalu menerima serta menyedut akan pelbagai unsur yang menyentuh pantainya, tetapi di samping itu tetap mempertahan keperibadiannya yang unik. Dunia Melayu ini penuh keragaman daripada segi keagamaan, kebudayaan, kesenian serta adat resam, tetapi di bawah keragaman itu selalu terasa ada kesatuan yang mengikatnya."

Beliau menyatakan hal tersebut dalam syarahan perdana Profesor UKM pada 30 Januari 1990. Pada 20 tahun dahulu - yang penubuhannya "merupakan usaha gigih untuk menukarkan kebudayaan kolonial kepada kebudayaan nasional."

Wajar dicatat dalam konteks peralihan masa ialah ucapannya kepada ahli-ahli Royal Asiatic Society Malaysia Branch di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 Februari 1966 manakala menghuraikan perkembangan bahasa Melayu. Lantas disebut betapa bahasa Melayu selepas tamat perang menjadi bahasa kebangsaan Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei.

Berucap dalam bahasa Inggeris beliau menyebut betapa pengajian Melayu telah berkembang di negara-negara lain, terutama di Australia, Amerika, England dan Russia. Sebelum itu dari kedatangan penjajah Eropah mulai abad ke-16 tidak meminati langsung untuk membuat kajian mengenai budaya dan bahasa rakyat tempatan. Ini berlaku selama 300 tahun.Perubahan berlaku kemudiannya seperti di Singapura di bawah pemerintahan Stamford Raffles. Di Indonesia pegawai penjajah Belanda Snouck Hurgronge menganalisis bahasa warga Aceh, manakala di Tanah Melayu antara yang berperanan ialah Richard Windstedt.

Dalam pada itu para penyelidik Eropah tertarik minat mereka kepada pantun Melayu mulai tahun 1868. Ia menjadi bahan syarahan di sebuah universiti Belanda.

Kesedaran

Profesor Ismail Hussein menyentuh pendapat yang menganggap Hang Jebat sebagai wira, bukan Hang Tauh. Menurut beliau tiada apa pun bukti bahawa Hang Jebat wira masyarakat Melayu zaman silam.

Gambaran lebih jelas disebut dalam syarahan perdana di UKM (1990). Antara lain mengenai "kesedaran Melayu dalam erti luas serta penggunaan istilah "Melayu" dalam ertinya yang umum, cukup berkembang di Filipina, masyarakat Nusantara paling terbaik kepada pengaruh Barat."

Wira Filipina yang terbilang Jose Rizal yang mendapat jolokan The pride of the Malay race atau The Great Malayan menjadi model kemelayuan yang klasik.

Muncul juga ialah "jurubicara" dunia Melayu yang utama di Filipina pada pertengahan abad ke-20, bernama Wanceslao Vinzons, seorang pemuja Rizal. Beliau menyampaikan pidato berjudul Malaysia Irredenta yang "memaparkan mimpinya akan penyatuan bangsa-bangsa Melayu - Polinisea.

Beliau kemudian mengarang buku berjudul Malaysia Irrendenta yang mengandungi the history and civilisation of Southeast Asian Conturies belonging to the Malay race.

Beliau adalah nasionalis yang menentang pendudukan tentera Jepun di Filipina dan akhirnya hilang pada 1942, khabarnya ditembak mati oleh tentera Jepun.

Di Indonesia pula tokoh pelopor kemerdekaan Indonesia, Muhammad Yamin dari Sumatera Barat memperlihatkan keyakinan mendalam terhadap "peranan bahasa Melayu dan impiannya yang bahasa itu harus dijadikan bahasa kesatuan yang lebih mantap lagi."

Menurutnya "Selat Melaka ialah corong ke kepulauan kita, Malaya ialah batang leher kepulauan Indonesia daerah yang delapan. Menceraikan Malaya daripada Indonesia bererti dengan sengaja dari mulanya melemahkan negeri Rakyat Indonesia dalam perhubungan internasional."

Tetapi kemerdekaan yang diumumkan pada 17 Ogos 1945 wilayah Indonesia merdeka dibatasi pada kawasan Hindia Belanda "Dan selepas Muhammad Yamin gagasan Melayu Raya di Indonesia dari segi politiknya memang telah mati."

Menurut Profesor Ismail Hussein pergerakan Melayu Raya yang lebih berkesan di Tanah Melayu timbul di daerah pedalaman, bukan di pesisiran atau di kota pelabuhan. Ini terjadi di Maktab Sultan Idris di Tanjung Malim. Anak-anak muda banyak berasal daripada masyarakat petani.

Bagi beliau "akhir-akhirnya, tamadun Melayu adalah yang akan menjadi unsur penentu dan yang akan memberikan keperibadian yang lebih kepada kebudayaan kebangsaan Malaysia yang akan datang."

Tan Sri Profesor Emeritus Dato' Pendita (Dr.) Haji Ismail Hussein telah berkhidmat dengan Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau dipilih menjadi Ketua Satu GAPENA sejak ditubuhkan pada 23 Oktober 1970 dan menyandang jawatan hingga kini.

Thursday, March 08, 2012

Kitab Bukti Kewujudan Hang Tuah

Sasterawan Negara Dr Muhammad Salleh berkata nama Hang Tuah diulang banyak kali dalam dua dokumen penting – Tuhfat al-Nafis dan Sulalatus Salatin – yang membuktikan kewujudan watak tersebut dalam sejarah.

Bagaimanapun, bahan berkenaan tidak dibaca oleh kebanyakan orang yang lebih banyak melihat gambaran watak tersebut melalui media popular seperti filem dan juga novel epik Hikayat Hang Tuah.

Menurutnya lagi, nama Hang Tuah disebut sebanyak 128 kali dan sehingga tujuh bab dalam kitab Sulalatus Salatin edisi A Samad Ahmad.

"Saya rasa kalau bukan penting dan jika dia legenda seperti Banderang atau Badang, mungkin dalam satu bab sahaja kemudian hilang," katanya lagi dalam forum berkenaan.

Sesetengah pihak pada masa ini hanya menonton filem Hang Tuah dan menyimpulkan kewujudannya melalui watak yang muncul dalam filem berkenaan.

"Kemudian dicampur lagi dengan Hikayat Hang Tuah yang dibaca bercebis-cebis," katanya dalam forum Hang Tuah di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur hari ini.

Selain kitab berkenaan, satu kitab yang ditulis oleh seorang penulis bernama Hang Kulh (dieja dalam tulisan Jawi dengan huruf qaf-wau-lam-ha) yang didakwa sebagai sepupu Hang Tuah turut dijumpai, kata sasterawan itu lagi.

Namun, keadaan manuskrip yang daif dan juga naratif yang tidak lengkap dalam dokumen berkenaan tidak melayakkannya untuk dimasukkan ke dalam Daftar Ingatan Dunia (Memory of the World Register), katanya lagi.

Berdasarkan bukti melalui bahan bertarikh 1658 itu, Muhammad berkata "pada saya, berat kepada kenyataan bahawa (Hang Tuah) wujud."

sumber

Wednesday, March 07, 2012

Kritikan Sosial 'Hikayat Abdullah'

Abdullah Munsyi dan kritikannya

Kemunculan Abdullah bin Abdul Kadir, seorang peranakan Keling dan berketurunan Arab yang fasih membaca dan menulis dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Tamil, bahasa Cina dan bahasa Hindustan membuka lembaran baru dalam dunia penulisan dan persuratan di Nusantara.

Ini kerana, hikayat yang ditulis beliau merupakan suatu rakaman pengamalan sebenar kehidupan sosial pada zamannya. Malah banyak peristiwa besar dan sikap sosial terakam dalam hikayat tersebut sekali gus mencarikkan adat kebiasaan sebuah hikayat yang penuh dengan fantasi kesaktian dan legenda ketokohan individu.

Jenis penulisan beliau ini pada hari ini popular sebagai memoir atau autobiografi. Hikayat Abdullah siap dikarang 1845 dan diterbitkan buat pertama kali pada tahun 1849.

Namun apa yang paling ketara dalam autobiografi ini adalah, sikap Abdullah dan kritikan tajam beliau terhadap suasana sosial pada zaman itu, hasil daripada pemikiran dan ketajaman akal yang mendahului zaman hasil didikan secara paksa rela oleh ayahnya sendiri.

Tidak benar jika dikatakan beliau hanya mengkritik bangsa Melayu kerana jika sesiapa membaca keseluruhan hikayat tersebut, pasti jelas bahawa orang Inggeris, Amerika, Cina, India, Jerman, Belanda, pendek kata apa yang dilalui dan dijumpai serta dilihat sendiri oleh beliau di Melaka dan Singapura, tidak terlepas daripada kritikan dan komentar jujur Abdullah.
Namun yang paling ketara adalah, kritikan Abdullah kepada raja-raja Melayu sepanjang hikayat tersebut. Digambarkan bagaimana Sultan Hussein Syah yang tertipu kepada helah Inggeris kerana mahukan sejumlah wang sebagai habuan dan gaji bulanan bersama temenggung.

Begitu juga beliau sangat kritikal kepada sikap sultan dan kaum kerabatnya, seperti sultanah yang membunuh dan menyeksa dengan sewenang-wenangnya hamba abdi perempuan yang ada rupa kerana cemburu. Ini kerana risau dijadikan oleh Sultan Hussain Syah sebagai gundik.

Lebih jelas lagi apabila Abdullah mengungkapkan sikap raja-raja Melayu dan kerabatnya dengan katanya:

“Setelah Sultan Mahmud mangkat, entah dari mana datangnya, dalam dua tiga hari singgahlah dua tiga orang anak raja di Padang. Setelah sampai di pantai, disuruhnya orang membawa tombaknya ke darat untuk meminta beras, ayam, dan barang-barang lain yang dikehendakinya. Kasihan orang Padang kerana kebodohannya. Apabila mereka nama raja atau anak raja, dihormatinya seperti Allah.

“Dengan gementar tulangnya, mereka serahkan sebarang kehendaknya tanpa bayaran. Sepuluh lima belas hari kemudian, datang pula empat lima anak-anak raja. Mereka pun meminta juga. Ada yang naik sendiri ke darat. Barang yang ditemuinya diambil seperti barang sendiri. Mereka seperti penyamun.

"Tuan punya harta hanya terkelip-kelip matanya, bodoh sebab takut pada nama anak raja. Diam sahaja. Anak raja yang tidak tahu malu dan takut kepada Allah dan makhluk kerana makan barang haram, berbuat sesuka hatinya.

“Ada pula kelakuan seperti binatang, mengejar dan memperkosa anak-anak perempuan. Setelah itu mereka belayar. Kemudian datang pula yang lain. Kehendak mereka tidak boleh dilawan. Jika dilawan, akan dibunuh dan rumah dibakar. Pokok-pokok kelapa mereka habis ditebang untuk umbutnya. Demikianlah mereka membinasakan hamba Allah dengan zalim dan aniaya.

“Mereka meninggalkan kampung halaman dan sawah ladang yang porak-parik, membawa diri ke tempat lain. Ada yang menjadi hamba orang, beribu-ribu orang, bertaburan sepanjang tempat. Kampung-kampung itu tinggal menjadi hutan rimba tempat gajah dan harimau sekarang ini. Tidakkah mereka sedar segala kezaliman dan aniaya mereka itu akan dibalas oleh Allah?“Ada satu lagi perkara pelik kedengaran. Ada raja yang membuat satu adat, bukannya adat orang Islam atau adat bangsa-bangsa lain di dunia, melainkan adat Iblis ataupun adat hawa nafsu yang jahat. Raja-raja itu mengambil anak-anak dara orang kebanyakan untuk dijadikan gundik dengan paksa, tiada reda perempuan itu, apalagi ibu bapanya.

“Dengan paksa perempuan itu dibawa ke rumahnya. Dipanggilnya khatib atau lebai-lebai yang bebal dalam hukum agama Islam dan tamakkan upah. Disuruh oleh raja nikahkan perempuan itu dengan keris raja. Adakah nikah itu sah?

"Oleh sebab itu, banyaklah lahir anak haram. Kelakuan raja-raja itu seperti iblis yang tidak takutkan Allah dan rasul, dan tiada malu kepada makhluk. Tidakkan patut perbuatan zalim dan aniaya itu dibalas oleh Allah dengan bala-Nya? (Rujuk: Hikayat Abdullah – edisi semi klasik adaptasi oleh Hamzah Hamdani, 2007: 330-338)

Selain daripada itu, Hikayat Abdullah ditutup dengan suatu nasihat dan pandangan yang agak radikal kepada para raja Melayu pada zaman tersebut dan sebelumnya. Justeru tidak hairan mengapa sesetengah cendekiawan Melayu (baca: bangsawan) rasa tidak selesa malah melabelkan beliau dengan pelbagai label termasuk Abdullah Paderi dan sebagainya. (Rujuk: Hikayat Abdullah – edisi semi klasik adaptasi oleh Hamzah Hamdani, 2007: 382-391)

Perihal beliau banyak bekerja dan memuji orang putih (namun tetap dikritik kerana kesombongan/ rasa sudah pandai dalam mempelajari bahasa Melayu) malah sehingga ditugaskan menyalin dan membaik pulih terjemahan Kitab Injil ke dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi, apakah ia menyalahi hukum agama, masih boleh diperdebatkan.

Namun hakikatnya, jasa Abdullah Munsyi kepada korpus kesusasteraan dan persuratan termasuk kewartawanan Melayu adalah sangat besar. Tidak adil jika dinafikan segala sumbangan dan jasa beliau dalam merekod peristiwa zaman dengan begitu cermat dan terperinci serta telus.

Sepanjang membaca Hikayat Abdullah, beliau tidak lekang melafazkan doa dan bertasbih, kadang-kadang mengungkap kata-kata tazkirah dan tazkiatun nafs yang memperlihatkan betapa beliau adalah seorang Muslim yang mempunyai latar belakang pendidikan agama yang kuat selain berpegang teguh dengannya.

Tidak wajar kita menghukum beliau sehingga kepada murtad kerana beliau sangat propenjajah malah banyak membantu penjajah dalam membuat gerak kerja serta mengajar bahasa Melayu. Ini kerana keimanan adalah perihal hati nurani dan hanya Allah yang tidak mempunyai hati yang layak menilai keimanan seseorang, bukan sesama manusia yang juga mempunyai hati nurani dalam dadanya yang juga akan dinilai oleh Allah.

Renungi pula kata-kata nasihat beliau mengenai kepentingan membaca hikayat-hikayat klasik Melayu:

“Ketika itu aku suka membaca hikayat-hikayat kerana banyak faedah kuperoleh daripadanya. Di situlah aku menemui rahsia-rahsia bahasa Melayu. Kalau aku dengar ada orang menyimpan hikayat yang belum aku baca, sedaya mungkin aku akan meminjamnya ataupun menyewanya. Setelah habis kubaca, barulah aku pulangkan.

“Dari situlah aku mendapat kefahaman mengenai tempat hentian dan kuat perlahan dan sebagainya dalam bacaan. Pesanku kepada sekalian sahabat yang membaca kisahku ini, jika hendak pandai dalam bahasa Melayu, rajinlah membaca segala hikayat dalam bahasa Melayu. Di dalamnya tersembunyi perkara-perkara yang mulia yang tidak kita ketahui faedahnya sekarang. Kemudian hari kelak ia akan berguna apabila kita hendak mengarang, ataupun hendak menggunakannya.

“Pada ketika itu barulah kita teringat bahawa kita pernah bertemu perkataan tersebut dalam kitab dan hikayat yang kita baca. Demikianlah gunanya dan maknanya. Dalam hal ini, jangan engkau salah faham. Kebanyakan hikayat itu aku tahu sebenarnya adalah karut belaka. Aku tidak meminta engkau percaya cerita-cerita itu. Namun biarlah ia tinggal sebagai cerita. Yang penting, pengarangnya itu orang yang pandai. Kita ambil kepandaian ilmunya itu.

“Apabila kita sudah mengetahui semua rahsia tersebut, bolehlah kita mengarang perkara yang kita kehendaki, iaitu kisah yang benar dan rencana yang baik. Apabila sudah kita tahu maknanya, maka bertambah baiklah karangan itu. Sudah terang lagi bersuluh.

"Namun ramai orang yang pandai membaca surat-surat dan hikayat-hikayat Melayu apabila ditanya makna sesuatu perkataan yang ada di dalamnya, mereka tidak dapat menjawab. Mereka tidak belajar tentang asalnya perkataan itu dan tidak mengetahui gunanya. Mereka hanya meniru-niru sahaja.” (Rujuk: Hikayat Abdullah – edisi semi klasik adaptasi oleh Hamzah Hamdani, 2007: 108-109)

sumber

Sunday, March 04, 2012

Sejarah Kesatuan “Dunia Berbahasa Melayu”

Oleh Mazlan Nordin

KISAH fenomena Melayu bersambung. Telah dinyatakan adanya: Realisasi yang paling nyata daripada mimpi lama ialah wujudnya kesatuan “Dunia Berbahasa Melayu” ya ng harus diperteguhkan.

Demikian disuarakan oleh Profesor Ismail Hussein dalam syarahan perdana di Universiti Kebangsaan Malaysia pada suatu masa lampau ketika menyambut ulang tahun ke-20 penubuhan UKM pada bulan Mei 1970.

Selanjutnya dihuraikan: Semenanjung Melayu adalah satu-satunya daerah di bumi Ilahi ini yang mengambil nama “Melayu”. Ini tanah asal bahasa dan kebudayaan Melayu yang intim di samping “Tanah Melayu” yang lain, iaitu pantai timur dan selatan Sumatera.

Semenanjung Melayu ditakdirkan terletak antara benua dan kepulauan, ia seolah-olah dikepung oleh Dunia Melayu yang cukup berbeza sejarahnya, yang satu telah mengalami kekalahan, yang lain sedang menuju kemenangan. Sempadan Dunia Melayu yang di benua, iaitu di antara dahulunya merangkumi selatan Vietnam dan Kemboja dan juga seluruh wilayah segenting kara hinggalah ke daerah Selatan Burma.

Dunia Melayu yang di selatan berkembang, gagah sebagai negara-negara kebangsaan yang baru, iaitu Indonesia, Brunei Darussalam dan Filipina. Bangsa Melayu di Malaysia yang terkepung di tengah dua dunia itu, hidup terumbang-ambing antara kekalahan dan kemenangan dan memberikannya dinamik yang luar biasa.

Dicatatkan oleh Ismail Hussein selanjutnya ialah beberapa peristiwa berkaitan dengan dunia Melayu:

* Dalam tahun 1879 Parlimen Hawaii di Honolulu telah membincangkan kemungkinan penyatuan Dunia Melayu-Polinesia yang luas.

* Sembilan tahun selepasnya (1898) Apolinario Mabini di Manila mencadangkan “Federation Malaya” dengan gagasan yang sama.

* Muncul di Filipina ialah wiranya yang terbilang, Jose Rizal yang diberi nama jolokan “The Pride of the Malay Race” atau “The Great Malayan”.

* Berikutan ialah peranan Wancelao Vinzons yang menyampaikan pidato bersejarah “Malaysia Irredenta” yang memaparkan mimpi penyatuan seluruh bangsa Melayu - Polinesia. Waktu itu beliau berusia 22 tahun dan seorang pemuja Rizal. Beliau selanjutnya mengarang buku mengenai “History and civilization of Southeast Asian countries belonging to the Malay race”.

Di samping itu di Indonesia ialah peranan Muhammad Yamin, berasal dari Talawi. sebuah kampung kecil di Sumatera Barat.

Menurutnya “Selat Melaka ialah corong kepulauan kita, Malaya ialah batang leher kepulauan Indonesia daerah yang delapan. Menceraikan Malaya dari Indonesia dalam perhubungan internasional”.

Keagamaan

Pada peringkat akhir syarahan perdananya Ismail Hussein menyebut: Dunia Melayu ini penuh keragaman dari segi keagamaan, kebudayaan, kesenian serta adat resam, tetapi di bawah keragamannya itu selalu terasa ada kesatuan yang mengikutnya”.

Dalam kertas kerjanya pula berjudul The Study of Malay Literature, Ismail Hussein menyebut mengenai kira-kira 2,000 manuskrip asli Melayu dihantar ke Eropah kebanyakannya untuk perpustakaan-perpustakaan Inggeris dan Belanda.

Lanjutan kisah ialah karya berjudul Malay, World Language of the Ages oleh Profesor James T. Collins, yang mengkaji bahasa dan pelbagai loghat Melayu di seluruh Asia Tenggara.

Beliau menyebut antara lain mengenai kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15 memeluk agama Islam. Ketika itu Melaka mempunyai kira-kira 200,000 penduduk dan berupa kota terbesar di Asia Tenggara. Kerana kaitan dengan Islam, tulisan Jawi menjadi bahan utama penulisan Melayu.

Pada 10 Ogos 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis yang kemudian meranapkan masjid-masjid serta istana-istana untuk mengubah segalanya. Namun, pada tahun 1522 kamus Melayu terbit hasil usaha seorang peniaga bangsa Itali, bernama Antonio Pigafetta. Antara contoh kata-kata:

Melayu 1522, Apenomaito?, Tida tahoSudah Macan,

Melayu 1996, Apa nama tu?, Tidak tahu, Sudah makan?,

Melayu 1534, Baparim de Pungor, Ange’ dia malu, Sita pa tau dor,

Melayu 1996, Berperang di Punggur, Nggak dia malu, Setapak tak undur.

Juga catat ialah surat tulisan Jawi dari Sultan Brunei pada tahun 1599 kepada Gabenor Manila setelah diserang oleh tentera Sepanyol. Surat tersebut masih disimpan di Sepanyol.
Mendapat perhatian ialah peranan seorang Paderi Kristian, Francisco Javier di Melaka setiba pada tahun 1545. Beliau mempelajari bahasa Melayu hingga boleh menterjemah ayat-ayat sembahyang penganut Katolik. Beliau mengadakan pelajaran-pelajaran agama Kristian dalam bahasa Melayu.

Pada tahun 1632, bahasa Melayu digunakan dalam mahkamah-mahkamah pemerintahan Belanda di Ambon. Seorang bangsa Maluku beragama Kristian, Jan Paijs menjadi petugas mahkamah menulis kenyataan-kenyataan dalam bahasa Melayu tulisan rumi. Surat-surat berumur 364 tahun itu masih disimpan di negeri Belanda.

Bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca di Batavia semasa pemerintahan Belanda.

Pada tahun 1856, suratkhabar bahasa Melayu terbit di Surabaya untuk keperluan ahli-ahli perniagaan. Menjelang akhir abad ke-19, akhbar-akhbar Jawi dan Rumi terbit dipelbagai tempat Gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archiplago).

Semasa tentera Jepun menyerang dan menewaskan bala tentera British di Malaya dulu, pegawai-pegawai tentera Jepun membawa kamus Malay-English susunan Wilkinson, tulisan Rumi.

Menurut Profesor Collins, sepanjang sejarah 1,300 tahun bahasa Melayu telah menerima kata-kata bahasa Arab, Sanskrit, Portugis dan Belanda.

Thursday, March 01, 2012

Memartabatkan Bahasa Melayu

SIAPAKAH yang bertanggungjawab menterjemah dan menerbitkan 130 judul buku sains dan matematik demi memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris? Jawapannya: Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Ia telah menerbitkan buku mengenai pelbagai perjanjian dan dokumen lama Malaysia dari zaman Kesultanan Melayu hingga Pemasyhuran Malaysia dan Pemisahan Singapura (1791-1965).

Lalu dari Perjanjian Pulau Pangkor 1874 dicatat ayat pertama berbunyi: “Bahawasanya keadaan huru-hara sedang berlaku dalam Kerajaan Perak disebabkan oleh ketiadaan pemerintah yang tetap di negeri itu dan tidak wujud kuasa yang berkesan untuk melindungi rakyat dan untuk menjamin hasil usaha mereka.

Bahawasanya sesetengah pembesar kerajaan Perak telah menyatakan ketidakmampuan mereka mengawal kacau-bilau yang melanda sekarang ini dan bersama-sama dengan mereka yang berkepentingan dalam perusahaan negeri ini telah memohon bantuan”.

Ayat akhir pula berbunyi: “Perjanjian ini dibuat dan diikat di Pulau Pangkor dalam Tanah Jajahan British pada dua puluh hari bulan Januari tahun Masihi satu ribu lapan ratus tujuh puluh empat, disempurnakan di hadapan saya, Andrew Clarke, Gabenor,”.

Antara lain-lain perjanjian dan dokumen lama yang dihimpun bagi kali pertama ialah Perjanjian Sir Stamford Raffles 1819, Perjanjian Belanda 1824, Perisytiharan Panglima Tentera Jepun 1942 (setelah menewaskan angkatan tentera British), Ordinan Peraturan Darurat 1948, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 serta Pemasyhuran Malaysia 1963.

Lain-lain cabaran dihadapi oleh negara masyarakat majmuk, termasuk pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Acap kali dibicarakan kini ialah pelajaran Sains dan Matematik. Nyaring bersuara ialah yang mahu pelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris.

“Hakikatnya, dunia kami di ITNM segala-galanya berteraskan ilmu. Kami mencarinya dan bertanggungjawab menyampaikannya kepada masyarakat.

“Bersama-sama seluruh pasukan dalam organisasi ini, kami berjuang membangunkan industri terjemahan - dengan kesedaran serta penuh mengerti bahawa tiada cara lain untuk membangunkan bidang ini melainkan dengan meningkatkan produktiviti intelektual.

“Kami berpegang kepada kepercayaan bahawa setiap halaman yang diterjemah dan diterbitkan mempunyai pengaruh ke atas semua aspek intelektual, kerohanian dan kehidupan sosial khalayak pembaca”.

Dalam satu temu ramah pula Encik Khair menegaskan: “Kami juga berharap supaya usaha ini dapat menangkis tanggapan pesimis sesetengah pihak terhadap bahasa Melayu - yang dianggap tidak berkeupayaan dalam terma subjek Sains dan Matematik”.

*Petikan dari rencana Tan Sri Mazlan Nordin
Sumber asal