Wednesday, February 29, 2012

Cita-Cita Yang Melayu Se-Melayunya

DISELAMI semula oleh pelbagai pihak kini ialah kisah-kisah dari Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu.

Antara yang dibaca pidato Profesor Ismail Hussain, “Antara Dunia Melayu dengan Dunia Indonesia” ketika menerima gelaran Doctor Honoris Causa dari Universiti Indonesia, Jakarta pada 15 Disember 1984. Antara sedutan:

“Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah merupakan dua karya dari zaman pra-cetakan yang terulung di Tanah Melayu, kedua-dua karya itu berlatar-belakangkan Melaka dalam zaman pra-Kolonial dengan yang demikian kedua-duanya memancarkan cita-cita yang Melayu se-Melayunya.

Tetapi kedua-dua karya itu tertulis dalam zaman Kolonial, Hikayat Hang Tuah jelas tertulis jauh lebih lewat daripada Sejarah Melayu - jadi kedua-duanya lebih merupakan satu macam ingatan malah satu macam mimpi tentang zaman gemilang Melayu itu.

Bagi kebanyakan anak Melayu di Semenanjung, Sejarah Melayu itu merupakan sebuah dokumen yang membanggakan tentang sejarah dan kebudayaan suku bangsanya, karya itu memberitahukan tentang zaman bila Melaka itu seolah-olah menjadi pusat dunia dan bangsawan Melayu di puncak keutuhannya”.
Selanjutnya dicatat bahawa “teks Hikayat Hang Tuah tak mungkin ditulis di luar daripada wilayah Melayu ini atau di luar daripada daerah Melayu yang mewarisi secara langsung tradisi dan ingatan dari Melaka”.

Lalu dijelaskan lagi: “Demikian teks Hikayat Hang Tuah itu diturunkan kepada kita dalam bentuk yang amat gagah - temanya adalah tema kemenangan dan keabadian dan ini agak berbeza dengan nada yang terdapat pada Sejarah Melayu.

Hang Tuah itu ialah wira segala wira, tak pernah kalah, tak pernah durhaka dan tak pernah mati pula.

Kesetiaannya yang luar biasa itu haruslah ditafsirkan sebagai kesetiaan kepada kebudayaan dan tradisi Melayu, bukan sekadar kesetiaan kepada raja.

Dan penderhakaan yang dicemuhnya adalah penderhakaan terhadap sejarah dan tradisi bangsa sendiri. Dan dari pusat dunianya di Melaka, Hang Tuah memutar ke seluruh alam, menafikan ruang dan masa.
Dan laungannya “Tak Melayu hilang di dunia” yang jelas didesak oleh ketakutan bawah sedar si pujangga, bergema sehingga abad ke-20 dan kata-katanya itu tetap mengobarkan semangat dalam detik-detik yang gelap bagi suku bangsa Melayu.

Menolak

Tetapi sejarah telah menyaksikan orang Melayu di Selat Melaka itu, betapa besar pun mimpi serta keazamannya tidak dapat menolak satu demi satu mala petaka melandanya.

Masuk abad ke-19, kebanyakan bangsawan Melayu itu hilang segala kekuatannya, seperti terlihat dalam Kisah Pelayaran Abdullah Munsyi, apabila beliau memerikan dengan cukup sinis perihal hidup anak-anak raja di Pantai Timur Semenanjung”.

Demikian antara kandungan pidato Profesor Ismail berkelulusan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Leiden, Belanda.

Berikut pula penjelasan Dr. Cheah Boon Kheng, mengenai seorang bernama Raja Bongsu.

Ayat pertamanya: “Raja Bongsu ialah pemilik dan bukan penulis MS. Raffless No. 18, sebuah manuskrip asli Jawi berjudul Sulalatus-Salatin (geneologi sultan-sultan), kini dikenali sebagai Sejarah Melayu atau Malay Annals dalam bahasa Inggeris.

Inilah manuskrip yang telah dirumikan dalam bahasa Melayu moden oleh Profesor Madya Abdul Rahman Ismail dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan diterbitkan oleh Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS) pada 1998.

Raja Bongsu yang memberi perintah kepada penulisnya, Tun Bambang dari Patani yang bergelar Seri Nara Wangsa, yang menulis Sejarah Melayu.

Dalam prakata buku terbitan 2009 (ulang cetak 2010), Dr. Cheah menyatakan: “Ada 32 naskhah atau versi Sejarah Melayu yang berbeza-beza antara satu sama lain yang tersimpan di perpustakaan seluruh dunia, tetapi mengikut sarjana Inggeris R.O Winstedt, naskhah atau MS. Raffles no 18 adalah yang tertua.

Majlis MBRAS kemudian memutuskan supaya MS. Raffles No. 18 itu dirumikan semula.

Usaha tersebut dilakukan selanjutnya oleh Profesor Madya Abdul Rahman. Hasilnya ialah “suatu versi rumi yang baik dan sesuai untuk pelajar-pelajar sekolah dan universiti di Malaysia”.

Menurut beliau “Raja Bongsu ialah pemilik dan bukan penulis teks MS. Raffles No. 18 dan ia juga bersetuju bahawa naskhah ini merupakan naskhah Sejarah Melayu yang asal dan lebih tua daripada naskhah lain dan Tun Bambang ialah penulisnya.

Seperti telah disebut oleh Profesor Ismail, Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah “kedua-duanya memancarkan cita-cita yang Melayu se-Melayunya.”


-Tan Sri Mazlan Nordin ialah Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).-

Monday, February 27, 2012

Antara Raja Buah & Orang Melayu Paling Garang

Mazlan Nordin Menulis

BUKU The Malay Archipelago (Gugusan Kepulauan Melayu) yang ditulis pada 1845-1846 antara lain mengisahkan betapa bahasa Melayu menjadi lingua franca dan wujudnya sifat mengamuk di kalangan orang Melayu serta kisah buah durian menjadi “raja” buah-buahan.
Bagi penulisnya, Alfred Russel Wallace, gugusan itu dibahagi kepada lima kumpulan pulau-pulau:

* Pulau-pulau Indo-Malay: Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Pulau Jawa dan Sumatera.

* Kumpulan Timur: pulau-pulau Timur, Flores, Sumbawa dan Lombok.

* Sulawasi: termasuk Pulau Sula dan Buton

* Kumpulan Maluku: Buru, Seram, Helmahera dan Morotai serta pulau-pulau kecil Ternate, Makian, Ambon, Banda.

* Kumpulan Papua: termasuk pulau besar New Guinea.

Menurut catatan salah seorang rakannya, Wallace biasanya diiringi oleh seorang dua pembantu dalam perjalanan ke sana-sini, tidak seperti Gabenor British di Singapura, Sir Stamford Raffels yang menjelajah melalui Sumatera dengan puluhan pembantu termasuk pembawa kerusi, minuman wain Perancis dan lain-lain keperluan.

Dalam pada itu ada teguran kerana tindakan Wallace memburu orang utan di Borneo hingga membunuh 10 orang.

Ini kebiasaan di masa dulu manakala pemburu-pemburu dari Eropah dan Amerika pergi ke Afrika untuk memburu singa dan lain-lain binatang buas dan mengambil gambar selain

membuktikan keberanian mereka sebagai pemburu.

Berdamping

Dalam lawatannya ke Kepulauan Melayu, Wallace berdamping dengan orang-orang kampung, sultan-sultan, raja-raja dan pembesar lain.

Antara ceritanya ialah ketibaan di Wonosalam, Jawa Timur setelah seorang budak lelaki diterkam oleh harimau yang mengheretnya ke dalam hutan.

Kira-kira 700 orang lelaki bersenjatakan lembing kemudian memburu harimau itu dan membunuhnya.

Menulis mengenai Melaka zaman lampau, Wallace mencatat: “Tempat ini ialah pasaran bagi seluruh India, Maluku dan lain-lain pulau sekeliling, selain dari Banda, Pulau Jawa, Sumatera, Siam, Bengal, Coromandel”.

Selanjutnya dijelaskan betapa bahasa Melayu berkembang: “Penduduk Melaka terdiri daripada pelbagai bangsa. Kaum Cina mungkin paling ramai, mereka memelihara adat-adat dan bahasa mereka.

Lingua franca

Orang Melayu pun ramai dan bahasa mereka telah menjadi lingua franca. Mereka memakai baju dan kain sarung.

Ketika sampai di Sarawak pula Wallace menyebut mengenai pelbagai buah-buahan: Manggis, langsat, rambutan, nangka, jambu dan belimbing.

Paling diminati ialah durian bagi penduduk tempatan dan orang-orang Eropah di Gugusan Kepulauan Melayu. “Ia begitu sedap sekali dan mengatasi buah-buahan lain”.

Bagi yang tidak mengenalinya bau durian seperti bau bawang busuk, tetapi ramai menganggapnya sebagai buah paling sedap sekali.

Ia begitu sedap hingga mengatasi kesedapan segala buah-buahan lain dalam dunia ini, Wallace menambah. Durian dipanggil “raja” atau “maharaja” buah-buahan.

“Saya mula merasa durian di Melaka, tetapi durian yang saya dapati atas tanah di Borneo dan makan di luar rumah begitu sedap dan saya serta-merta menjadi pemakan durian”.

Beliau juga menyebut mengenai durian menjadi kegemaran orang-orang Dayak.

Pada suatu pagi Wallace diberitahu mengenai kejadian amuk di sebuah kampung. Seorang lagi mencederakan 17 orang sebelum ia dibunuh.

Tempat paling kerap berlaku kejadian mengamuk ialah Makasar. Bagi orang-orang Sulawesi ia satu cara untuk melepaskan diri daripada kesusahan mereka.

Juga dicatat ialah kejadian di kalangan orang Bugis: Ada yang menganggap diri sendiri ditindas oleh masyarakat kerana berhutang dan tidak dapat menjelaskannya.

Lalu ada yang menghunus keris dan tiba-tiba menikam sesiapa saja yang ditemuinya. Ia berlari dengan keris berlumuran darah dan menikam semua yang ditemuinya.

Pekikan “amuk! amuk!” kedengaran di sana-sini. Ia terus mara ke hadapan dan membunuh sesiapa saja yang dihadapinya - lelaki, wanita atau kanak-kanak - hinggalah kemudian ia dibunuh oleh orang ramai.

Menurut Wallace dua bangsa paling berbeza dalam gugusan Kepulauan Melayu ialah orang Melayu di bahagian Barat dan orang Papua.

Lalu disebut: “Tidak syak lagi bahawa orang Melayu paling penting antara kedua itu kerana ia paling beradab bila bertembung dengan Eropah.

“Orang Melayu menduduki Semenanjung Tanah Melayu hampir kesemua kawasan Pantai Borneo dan Sumatera. Mereka berbahasa Melayu, menulis tulisan Jawi dan beragama Islam.

Orang-orang Islam berada di Pulau Jawa, orang beragama Hindu tinggal di Bali dan Lombok manakala orang Bugis tinggal di Sulawesi.

Melayu yang garang ialah Dayak di Borneo, orang Batak di Sumatera, Jakun di Tanah Melayu, Orang Asli utara Sulawesi, Kepulauan Sulu serta sebahagian di Buru.

Golongan atasan Melayu paling beradab, bersopan-satun dan mudah mendampingi orang-orang Eropah. Namun, ada kekejaman yang tidak dihiraukan akibatnya dan ini satu aspek buruk watak mereka.

Demikian antara kandungan Gugusan Kepulauan Melayu waktu itu daripada kaca mata Wallace yang kembali ke London setelah berada dipelbagai wilayah Asia selama sembilan tahun.

Beliau menerima pingat emas dari Persatuan Geografi Inggeris kerana bukunya itu dan Ijazah Kehormat dari Universiti Oxford.

Ketika berumur 41 tahun ia berkahwin dengan gadis 18 tahun. Pertanyaan: Apakah kemudian semasa tua beliau menyesal kerana membunuh orang utan?
Peta Pengembaraan Wallace

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm