Monday, August 13, 2012

Pemberitaan Islami

Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya.

(Fussilat 41:4)

Dan mereka berkata: "Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)! "

(Fussilat 41:5)

Published with Blogger-droid v2.0.6

Thursday, August 09, 2012

Budi Pimpin Melayu

Masih lagi Dewan Budaya Julai 2012.

Allah muliakan Melayu dengan Islam. Falsafah kepimpinan Melayu sangat unik dan telah lama teruji dengan kerajaan-kerajaan hebat sejak Funan, Srivijaya hinggalah Melaka. Saya kongsikan budi fikir saudara Muhammad Abi Sofian tentang keunikan dan ketinggian falsafah kepimpinan Melayu dalam gambar di atas.

Mungkin ada lagi sarjana Melayu yang bakal mengembangkan budi pimpin Melayu ini.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Falsafah Nama Melayu

Suatu artikel dalam Dewan Budaya Julai 2012;

* Melayu itu asal perkataannya adalah dari perkataan "melaju".
-bermaksud cepat, deras, tangkas yang merujuk sifat semulajadi perlakuan manusia melayu sehari-hari dlm aktivitinya.
-cerdas berfikir & pantas bertindak dalam peribadinya.

*Melayu juga bermaksud penyeberang, pengembara, penjelajah dari satu tempat ke tempat yang lain...

Komentar sosok saya: Melayu itu berada ditanah dan air. Maka negaranya tanahairnya. Menyeberang, Melaju & Derasnya di sungai dan lautan. Mengembara dan Menjelajahnya di setiap pelosok tanah, pulau dan lautan. Itulah bangsa Melayu.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Tuesday, August 07, 2012

Adil & Keadilan

Surah AlMaa’idah. Ayat 008.

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Published with Blogger-droid v2.0.6

Bahasa & Berbahasa II

Dan apabila berbicara, maka berbicaralah dengan adil.

(Surah Al An’am ayat 152)

Published with Blogger-droid v2.0.6

Berita & Pemberitaan II

Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepada kamu seorang yang fasik membawa suatu berita maka hendaklah kamu menyelidiknya terlebih dahulu, supaya kamu tidak (terburu-buru) membuat satu tindakan ke atas satu-satu kaum di dalam keadaan jahil, maka kamu menjadi menyesal kerana tindakan yang telah kamu lakukan.
(Al-Hujurat: 6)

Published with Blogger-droid v2.0.6

Bahasa & Berbahasa I

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit.

Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).

Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.

(Surah Ibrahim: 24-26)

Published with Blogger-droid v2.0.6

Berita & Pemberitaan I

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).

(An-Nur 24:11)

Published with Blogger-droid v2.0.6

Wednesday, June 06, 2012

Bersyukur

Suatu hari saya pernah terbaca:


"bersyukur dengan nikmat Allah juga adalah suatu nikmat"

Maka bersyukurlah kita, nescaya Allah akan tambah lagi nikmatnya untuk kita....


Published with Blogger-droid v2.0.4

Saturday, March 10, 2012

Surat Raffles Kepada Raja-Raja Melayu


Oleh Mazlan Nordin

TENTUNYA disambut baik ialah buku yang mengandungi pelbagai surat tulisan Jawi dari raja-raja Melayu kepada Sir Stamford Raffles pada zaman lalu.

Raffles kemudian mengirim surat kepada raja-raja Melayu di Semenanjung dan kepada raja-raja Gugusan Kepulauan Melayu-Riau, Siak, Pontianak, Banjarmasin, Jambi, Palembang, Cirebon, Banten, Madura, Surakarta, Mataram dan juga Bali.

Demikian buku bertajuk Letters of Sincerity : The Raffles Collection of Malay Letters 1980-1824 (420 muka, terbitan MBRAS), oleh Profesor Ahmat Adam, dulu sarjana sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini di Universiti Malaya.

Antara lain disebut betapa Raffles semasa berkhidmat di Pulau Pinang tertarik hati dengan pengajian bahasa Melayu lalu mengumpul salinan surat-surat bahasa Melayu yang punyai sejarah 500 tahun sekurang-kurangnya.

Beliau mendapat kenaikan pangkat manakala Lord Minto, Gabenor-Jeneral India melantiknya sebagai wakil ke negeri-negeri Melayu di Melaka. Beliau ditugaskan membuat persiapan untuk menyerang Pulau Jawa yang dikuasai oleh Belanda. Dari Melaka mulai Disember 1810 beliau mengadakan pelbagai gerakan pengintipan rahsia untuk mempastikan kekuatan tentera Belanda di Jawa.

Dalam surat-suratnya kepada raja-raja di Gugusan Kepulauan Melayu, beliau memohon sokongan persahabatan mereka, iaitu tidak menjalin persahabatan dengan Belanda. Dalam surat kepada Sultan Palembang, beliau meminta Sultan menghalau Belanda dari wilayah-wilayahnya.

Kisah bersambung: Raffles berlepas dari Melaka pada 18 Jun, 1811 bersama angkatan tentera seramai 11,000 orang bersama Lord Minto. antara 100 buah kapal ialah sebilangan kapal-kapal perang.

Pada waktu dulu penulis-penulis surat Melayu dikehendaki benar-benar menguasai sastera Melayu, menulis tulisan Jawi dengan baik dan mengetahui bahasa Arab serta agama Islam. Penting ialah kelebihan menulis puji-pujian yang menyentuh konsep “budi” budaya Melayu.

Permulaan surat raja Melayu mengandungi kata-kata dalam bahasa Arab dan beberapa ayat Quran. Terserlah ialah diplomasi Melayu selaras dengan “budi” orang Melayu. Antara kandungan surat Sultan Alauddin Jauhar Alam Syah (Aceh).

“Alhamduillah al-ladhi ala abdi al-kitab ........ Hatta kemudian dari itu banyak salam baik akan sahabat beta Paduka Seri Lord Minto ....... beta punya kapal telah bertemu dengan orang kapal perang Inggeris; di suruh turun bendera kita dan tanda beta. Kemudian ia usik-usik akan kapitan kapal beta, diambil khalasi. Mengapa begitu ia diperbuat.”Jelas bahawa ada kalanya raja Melayu juga menyampaikan aduan mengenai tindak-tanduk petugas kapal Inggeris. Menurut satu laporan lain Sultan Alauddin tahu bercakap dalam bahasa Inggeris dan sedikit-banyak mengetahui budaya orang-orang Barat.

Sepucuk surat dari Raden Muhammad Ibrahim (Aceh) kepada kerani Raffles, antara lainnya: “Saura hamba pun ketahui perintah dunia ini; jika ada rial ditangan kita segala kerja yang susah-susah jadi mudah.”

Surat dari Sultan Syarif Kassim (Pontianak) kepada Raffles di Melaka di antara lainnya: “Jika boleh dengan bolehnya sahabat kita tolong seboleh-bolehnya kerja habis itu perompak-perompak dan lanun. Segala yang kerja jahat-jahat sama orang dagang itu ketika ini semuanya ada berkumpul dalam negeri Sambas.”

Dari Banten (Jawa) pula Pangeran Anom dan Pangeran Ahmad: “Waba’adah raja-raja Inggeris, saya minta tolong kepada raja-raja Inggeris menembak Pulau Merak dan lagi menembak Anyer.”

Warkah dari Sultan Ceribon (Jawa) kepada Raffles: “Inilah surat yang tulus serta ikhlas yang keluar dari hati yang putih ....... Saya pun menanti-nanti tolongan dari kompeni Inggeris ...... Saya kedua memintakan biar segera kompeni Inggeris menyuruh kapal perang menolong daripada kerosakan saya dan negeri saya, mengambil sekalian orang Holanda yang di dalam negeri Jawa.”Surat-surat seterusnya diterima dari Ratu Gusti Wayahan Korong-Asem (Bali): “Bahawa ini surat yang terbit daripada nur al-qalub yang amat gilang-gemilang akan memberi terang benderang pada antara segala makhluk ...... Maka kita pintak kepada saudara apa-apa saudara punya suka yang di tanah Bali itu melainkan saudara kirim surat kepada iaitu seboleh-bolehnya kita carikan.”

Untuk faedah semua pihak surat-surat tulisan Jawi itu disiarkan dalam tulisan Rumi. Kerana, dewasa ini ada orang-orang Melayu tidak tahu baca jawi lagi.