Aku bukanlah pelajar yang bijak. Bukan genius. Aku hanya tergolong dikalangan pelajar yang biasa-biasa sahaja. Belajar lebih, keputusan peperiksaan baguslah. Belajar lebih kurang, keputusan peperiksaan seperti orang lainlah. Seperti orang ramai. Tiada siapa yang ambil kesah. Dan. Aku tetap seperti budak-budak kampung aku yang lain. Nakal. Nakal tak berupa (kata tok kepada aku).
Aku pernah lari dari rumah, yang ketika itu usia aku dalam lingkungan 5 atau 6 tahun. Kerana terlalu takut dengan emak, atas kesalahan yang aku sendiri telah lupa kini.
Aku pernah membakar longgokan getah kusyen di tepi rumah. Sehingga api marak menjulang sama tinggi dengan atap. Hampir membakar rumah.
Aku pernah meletupkan plak motor di dinding. Kekuatan dentuman menyebabkan rumah aku bergegar.
Aku pernah digantung dan dibuang asrama dan sekolah atas kesalahan sebagai ketua perancang. Kami membuat satu modus operandi memukul seorang pelajar asrama secara berkumpulan di tengah malam. Hampir separuh pelajar asrama lelaki digantung sekolah.
Dan berbagai-bagai tindakan yang aku sendiri malu nak tulis. Kadang-kadang apabila dikenang semula, aku menyesal sendiri dengan tindakan bodoh aku ketika itu.
Namun, sampai suatu ketika aku sedar betapa aku harus ke sekolah. Harapan emak dan abah amat tinggi pada aku. Aku tertekan dengan harapan yang digalas itu, di sebabkan aku anak yang pertama.
Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya diterima masuk ke universiti. Namun, aku terpaksa meninggalkan rakan-rakan seperjuangan di kampung. Mungkin nasib mereka tidak sebaik aku waktu itu. Setelah habis persekolahan, mereka bekerja kampung atau bekerja di kilang-kilang.
*****
"Engkau untung la dapat masuk universiti. Cerah masa depan. Lain lah aku ni, duduk kampung menoreh getah je. Nanti jangan lupa aku tau!" Jakpo memulakan perbualan.
"Tak lah. Aku tak lupa."
Dan detik waktu bagai kaku seketika.
"Sebenarnya bagi aku. Tak semestinya kita berjaya di sebabkan kita masuk universiti. Ramai juga orang yang tak masuk universiti berjaya. Ramai juga orang yang duduk di kampung berjaya. Sebenarnya berjaya dalam hidup adalah yang paling penting." Aku meneruskan perbualan.
Dalam hati aku berkata....
"Belajar di universiti tidak bermaksud kita berjaya dalam hidup. Universiti hanyalah tiket untuk berjaya dalam hidup. Terpulanglah kepada individu, bagaimana harus dia mengunakan tiket itu. Tanpa tiket pun boleh berjaya apa."